Misi yang akan bermula pada 1 Mei 2015 itu bakal menyaksikan Suwaibah mendaki beberapa menara pencakar langit di 27 buah negara termasuk Amerika Syarikat, Dubai dan Australia.

Suwaibah berkata, Utusan Malaysia dipilih sebagai media rasmi berdasarkan pengaruh dan kredibiliti akhbar ini dalam menyampaikan pelbagai maklumat kepada masyarakat.

“Saya berterima kasih kepada Utusan Malaysia kerana sudi menjadi rakan media rasmi dalam misi terbaharu kali ini.
“Saya akan berusaha melakukan yang terbaik untuk terus membawa nama Malaysia ke mata dunia,” katanya selepas majlis penyerahan akhbar Utusan Malaysia sebagai media rasmi di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Tengku Seri Temenggong Terengganu, Raja Tengku Baharuddin Sultan Mahmud selaku Pengurus Lari­an Suwaibah; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Herbal Biotech Sdn. Bhd., Rick Gan.


Nama Suwaibah mula menyinar selepas berjaya menamatkan larian Water for Gaza merentasi Gurun Sahara di Mesir secara solo dengan jarak 1,111 kilometer selama 32 hari pada 2012.

Beliau kemudian terus mencipta nama selepas menyempurnakan Larian Terusan Sutera Merentasi Laluan Marco Polo (Larian Marco Polo) dari Beijing, China ke Venice, Itali sejauh lebih 3,000 kilometer pada Jun tahun lalu.
Sementara itu, Mohd. Noordin berkata, penglibatan Utusan Malaysia sebagai media rasmi bagi misi tersebut menunjukkan akhbar berkenaan bukan hanya menumpukan soal politik semata-mata.
“Akhbar Utusan Malaysia me­nyampaikan maklumat semasa berdasarkan semua cabang dan tidak hanya tertumpu pada politik.
“Pemilihan tersebut juga sebagai satu peluang untuk Utusan Malaysia terus tampil sebagai pe­mang­kin fikiran rakyat,” ujarnya.